11 Sep 2013
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Shah Alam: Cicak tokek bernilai jutaan ringgit yang kononnya mampu membuatkan pemiliknya bergelar jutawan sekelip mata menjadi punca kematian seorang pemuda yang dibunuh sebelum mayatnya cuba ditenggelamkan ke dasar lombong di Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya, 30 Ogos lalu.
Siasatan polis mendapati, mangsa yang berusia 24 tahun itu adalah individu yang diberi amanah oleh seorang ahli perniagaan wanita berusia 60 tahun yang juga pemilik kepada haiwan bernilai jutaan ringgit itu sebelum mangsa gagal dihubungi menyebabkan dia dikhuatiri menghilangkan diri.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, sebelum kejadian, mangsa diminta suspek menjaga dan mencari individu yang berminat membeli cicak berkenaan yang sebelum ini dilaporkan mampu mengubati penyakit tertentu walaupun tiada kajian saintifik mengenainya dilakukan.
Menurutnya, selepas suspek menyerahkan cicak berkenaan, mangsa mendiamkan diri dan gagal dikesan menyebabkan suspek berang.
“Suspek mengupah beberapa individu mengesan mangsa sebelum dia ditemui dan ditembak individu berkenaan menggunakan senapang patah buatan sendiri dan mayatnya ditenggelamkan ke dasar lombong bersama kereta.
“Susulan kejadian itu, satu pasukan khas ditubuhkan Polis Selangor mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, semalam.
Mohd Shukri berkata, siasatan lanjut pihaknya kemudian membawa kepada penahanan 16 individu sekitar negeri ini dan Hilir Perak dalam beberapa siri serbuan antara 1 September hingga awal pagi semalam.
Difahamkan, ahli perniagaan wanita terbabit adalah suspek terakhir yang ditahan di rumahnya di Kuala Selangor jam 2 pagi semalam. Harian Metro 31 Ogos lalu melaporkan, Syairul Helmi Azhar, 24, ditemui dibunuh dengan kesan tikaman pada rusuk kanan belakang sebelum pembunuh menjunamkan keretanya ke dasar lombong.
Tindakan suspek meninggalkan udara dengan menutup semua cermin kenderaan juga menyebabkan kenderaan berisi mayat mangsa itu sukar tenggelam.
Mohd Shukri berkata, 16 suspek yang ditahan berusia 21 hingga 60 tahun dan empat daripada mereka dilepaskan selepas keterangan mereka diambil manakala baki 12 lagi suspek direman sehingga 12 September ini untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, polis merampas senapang patah buatan sendiri, sembilan peluru hidup jenis 9 milimeter (mm), beg, kain, pemutar skru dan telefon bimbit. “Polis yakin kes ini diselesaikan dengan penahanan semua suspek, namun sehingga kini polis masih mengesan cicak tokek yang dimaksudkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Akta Senjata Api,” katanya.
0 komentar:
Posting Komentar